Friday, June 29, 2012

Vol 1 Ch. 1 Bahagian b

"Jangan bergerak." Katanya.

Dia ternyata lebih rendah dariku. Dengan leher yang dicengkam, aku tunduk dan merenung matanya dalam-dalam. Matanya berwarna gelap, namun kelihatan terang bercampur sedikit warna kelabu. Belum pernah aku melihat warna mata seperti itu sebelum ini. Jemarinya semakin mencengkam. Budak lelaki itu langsung tidak nampak kuat, namun aku langsung tidak berupaya hendak bergerak walaupun seinci. Ianya bukanlah sesuatu yang manusia biasa dapat lakukannya.

"Macam tu rupanya. Kau memang tahu apa yang kau buat." Aku sempat berkata di bawah nafas sesakku.

Sepasang mata kelabu miliknya merenungku tanpa berkedip. Pandangannya mulai tenang seperti permukaan laut yang damai dan aku tidak lagi dapat melihat warna ketakutan ataupun keinginan untuk membunuh dari mata budak itu. Aku sendiri mula merasakan perasaan panikku semakin berkurangan.

"Biar aku rawat luka kau." Kataku sambil menggigit bibir. "Kau cedera kan? Biar aku tolong."

Aku dapat melihat pantulan wajahku di dalam mata si penceroboh itu dan untuk seketika aku terasa seperti akan disedut masuk ke dalamnya. Pantas aku tunduk mengelak dari merenung matanya sambil mengulangi kata-kataku tadi. "Biar aku balut luka kau tu. Kita perlu hentikan pendarahan tu. Kau faham apa aku cakap ni kan?"

Cengkaman di leherku mulai longgar.


"Sion." Suara ibuku kedengaran di interkom tiba-tiba. "Kamu buka tingkap ya, Sion?"

Aku menyedut nafas dalam-dalam. Aku tak apa-apa, aku meyakinkan diriku sendiri. Aku pasti aku boleh bercakap dalam nada suara yang biasa. "Tingkap? Oh, ya. Memang buka."

"Nanti kamu selesema kalau kamu biarkan tingkap terbuka."

"Saya tahu."

Aku dapat mendengar ibu sedang ketawa di interkom. "Kamu dah berumur 12 tahun hari ni, tapi kamu masih bersikap macam budak kecil."

"Yelah, ibu. Saya faham. Oh, satu lagi.."

"Apa?"

"Saya kena tulis laporan. Boleh tak ibu jangan ganggu saya untuk seketika?"

"Laporan? Bukankah sekolah baru bermula?"

"Hah? Err... saya ada banyak tugasan nak kena buat."

"Macam tu. Jangan kerja banyak sangat ya. Turun untuk makan malam nanti."


Jemarinya yang dingin itu ditarik dari leherku dan badanku kini bebas bergerak semula. Aku mendepakan tangan menghidupkan semula sistem kawalan udara dan memastikan sistem sekuriti terus dimatikan. Jika tidak, sistem itu pasti dapat mengesan kehadiran si penceroboh ini sebagai entiti asing dan menghidupkan bunyi penggera. Sekiranya seseorang itu diakui sebagai penduduk sah No. 6, ianya tidak akan berlaku, namun aku tidak dapat membayangkan si penceroboh yang basah lencun ini mempunyai taraf kewarganegaraan yang sah.

Tingkap bilikku akhirnya ditutup dan udara hangat mula berkitar di dalam bilikku. Si penceroboh bermata kelabu itu hampir pengsan di tepi katilku. Dia menghela nafasnya, kelegaan barangkali kerana dapat berehat dengan selesa. Dia kelihatan amat lemah lalu aku segera mengeluarkan kotak rawatan kecemasan. Mula-mula, aku memeriksa nadinya, kemudian mengoyakkan bajunya dan mula mencuci luka di bahunya.

"Ini..." Aku merenung luka di bahunya. Belum pernah aku melihat kecederaan seperti ini. "Luka dari peluru?"

"Ya." Aku menerima jawapannya seolah-olah ianya perkara yang biasa. "Nasib baik tak kena. Apa orang panggil luka macam ni? Kecederaan sipi?"

"Aku bukannya pakar. Aku masih pelajar."

"Pelajar kurikulum istimewa tu?"

"Mulai bulan depan."

"Wow.. budak pandai." Suaranya kedengaran menyindir. Aku mengangkat kepala dan merenung tajam ke matanya.

"Kau ni tengah menyindir aku?"

"Menyindir kau? Taklah. Takkanlah aku nak buat macam tu waktu kau tengah rawat luka aku ni. Jadi, apa pengkhususan kau?"

Aku memberitahunya yang pengkhususan aku ialah ekologi, jadi ianya memang langsung tidak ada kena-mengena dengan bagaimana hendak merawat luka tembakan peluru. Pengalaman pertama aku ini, memang agak menyeronokkan. Hemmm... apa yang aku patut buat mula-mula ya? Menyahjangkit, oh... aku perlu hentikan pendarahan dia juga.

"Kau nak buat apa?" Dia menyoal sambil memandangku yang sedang memegang sebatang picagari.

"Nak bius kaulah. Okey, aku buat ni."

"Nanti... nanti dulu. Kau nak bius aku, dan lepas tu?"

"Jahitlah." Aku tahu aku sedang tersengih lebar kerana aku amat teruja dengan apa yang aku sedang lakukan sekarang.

"Jahit? Tak boleh buat benda yang primitif lagi ke?" Dia seperti terkejut.

"Sini bukannya hospital. Aku bukannya ada peralatan canggih di sini. Lagipun, luka tembakan tu pun agak primitif juga kan."

Sememangnya kadar jenayah di bandar ini hampir mencecah ke angka kosong. Bandar ini memang selamat dan penduduk biasa tidak perlu memiliki senjata. Kalau ada pun, ianya hanyalah untuk kegiatan memburu. Dalam setahun, hanya dua kali peraturan dilonggarkan ketika musim memburu. Pemburu-pemburu akan menggalas senjata-senjata lama menuju ke kawasan pergunungan di utara. Ibu memang tidak sukakan mereka. Katanya dia tidak memahami mengapakah manusia sanggup membunuh haiwan demi keseronokan, dan ternyata bukannya dia seorang berpendapat sedemikian. Hampir 70% warga bandar ini berpendapat yang sama dan tidak begitu selesa mengakui aktiviti memburu itu sebagai salah satu kegiatan riadah. Membunuh haiwan yang tidak berdosa - memang kejam.

Namun, yang berdarah di hadapan aku ini, bukanlah musang ataupun rusa.

"Aku tak percaya." Aku berkata sendiri.

"Percaya apa?"

"Yang ada orang akan menembak ke arah manusia... melainkan... seseorang dari kelab memburu tertembak kau secara tak sengaja."

Bibirnya menguntum senyum. "Kelab memburu, huh. Kau boleh gelarkan mereka begitu tapi mereka bukan menembak secara tak sengaja."

"Mereka tahu mereka menembak manusia? Itu menyalahi undang-undang."

"Ye ke? Mereka ni pemburu manusia. Aku tak rasa mereka menyalahi undang-undang."

"Apa maksud kau ni?"

"Dalam dunia ni, ada pemburu dan ada yang diburu."

"Aku tak faham."

"Aku tahu kau takkan faham. Kau tak perlu faham. Jadi, betul ke kau nak suntik aku? Kau tak ada bius sembur atau benda lain ke?"

"Aku selalu teringin nak suntik orang."

Aku menyahjangkit lukanya dan menyuntiknya di sekitar kawasan luka itu. Tanganku sedikit menggeletar, namun mujurlah ianya berjalan dengan baik. "Nanti kau akan rasa kebas sikit, dan lepas tu -"

"Kau akan jahit."

"Ya."

"Kau ada pengalaman ke?"

"Mestilah tak ada. Aku bukannya belajar perubatan. Tapi aku pernah tengok dalam video dan aku ada pengetahuan asas sikit-sikit."

"Pengetahuan asas, huh..."

Dia menarik nafas panjang dan memandang tepat ke wajahku. Dia mempunyai segaris bibir nipis yang tidak berwarna , pipi yang cengkung dan warna kulit yang pucat. Wajahnya seperti seseorang yang tidak pernah menikmati kehidupan yang baik. Dia kelihatan seperti seekor haiwan yang diburu, kepenatan dan tidak mempunyai tempat lagi untuk bersembunyi. Tetapi, hanya matanya saja yang kelihatan berbeza. Matanya seperti tidak berperasaan, namun aku dapat merasakan kuasa yang kuat dapat dihasilkan olehnya. Aku masih belum pernah berjumpa seseorang yang mempunyai mata sedemikian rupa. Dan matanya itu sedang merenungku tanpa berkelip walaupun sedikit. 

"Kau ni pelik." Katanya.

"Kenapa kau cakap macam tu?"

"Kau langsung tak tanya siapa aku."

"Oh ya. Tapi, aku pun masih belum perkenalkan diri juga."

"Sion, kan? Macam nama bunga."

"Ya. Ibu aku suka pokok dan bunga liar. Kau pulak?"

"Nezumi.* "

"Huh?"

"Nama aku."

"Nezumi... takkanlah."

"Takkanlah apa?"

Warna anak matanya bukanlah warna mata seekor tikus. Ianya lebih elegan, seperti... seperti warna langit sebelum subuh - memang nampak seperti itu, kan? Seketika kemudian, wajahku mula merona merah, malu apabila menyedari yang aku berfikir seperti seorang pemuisi. Sengaja aku meninggikan nada suaraku kemudian.

"Okey, aku dah nak mula ni."

Aku cuba mengingati teknik asas jahitan. Jariku menggeletar hebat. Nezumi hanya memandang pergerakan jari jemariku tanpa suara. Aku memang gementar, namun berasa teruja juga. Aku mengaplikasikan pengetahuan buku teksku dan ianya memang menyeronokkan.

Jahitanku telah siap sempurna. Aku menekan sehelai kain kasa ke atas lukanya dengan lembut. Setitik peluh mula merecik di dahiku.

"Kau ni memang bijak." Dahi Nezumi juga dibasahi peluh.

"Aku memang bagus dengan tangan aku."

"Bukan tangan saja. Otak kau pun pintar juga. Umur kau baru 12 tahun kan?" Dan kau berjaya memasuki kurikulum istimewa tu. Kau ni memang super elit."

Kali ini, kata-katanya tidak lagi berbaur sindiran seperti tadi. Aku mula menyimpan semula peralatan yang digunakan dengan senyap.

10 tahun lalu, aku mendapat pangkat tertinggi di dalam peperiksaan kecerdasan untuk kanak-kanak berusia 2 tahun. Bandar ini menyediakan pendidikan terbaik untuk pemegang pangkat tertinggi di dalam kemahiran dan kebolehan atletik. Aku menghadiri kelas-kelas yang lengkap dengan kemudahan-kemudahan terbaik dan terbaru bersama-sama rakan sekelas yang sama denganku. Kami diserapkan ke dalam bidang-bidang pengkhususan yang bersesuaian dan masa depanku amat terjamin. Sekurang-kurangnya, begitulah perkara yang sepatutnya.

"Katil kau ni nampak selesa." Nezumi berkata perlahan, masih bersandar padanya.

"Kau boleh guna. Tapi, tukar baju kau dulu."

Aku meletakkan sehelai pakaian bersih, sehelai tuala dan sebuah kotak antibiotik ke atas riba Nezumi. Kemudian, aku terus membancuh koko di satu sudut di dalam bilikku.

"Kau ni memang tak pandai berfesyen." Nezumi berkata sambil memandang ke arah bajuku.

"Lebih baik dari baju kau yang kotor dan penuh darah tu, kan?"

Aku menghulurkan sebiji gelas berisi koko hangat dan untuk pertama kalinya aku melihat sinar emosi di mata kelabunya. Dia kelihatan gembira. Nezumi menghirup kokonya dan bergumam perlahan - sedapnya.

"Bagus rasanya. Lebih baik dari jahitan kau."

"Mana adil buat perbandingan macam tu. Untuk pertama kali, aku rasa jahitan aku boleh tahanlah."

"Kau ni memang selalu macam ni ke?" Dia menyoal.

"Huh?"

"Kau selalu biarkan diri kau terbuka macam ni? Ataupun kau memang langsung tak boleh rasa bahaya?" Nezumi menyambung masih memegang cawan kokonya dengan kedua-dua belah tangan. "Kau boleh berbaik-baik dengan penceroboh rumah kau tanpa rasa apa-apa?"

"Aku memang terasa bahaya. Takut juga. Aku memang takut dengan benda-benda yang bahaya dan aku tak mahu terlibat dengannya. Aku memang naif sebab percaya pada orang yang menceroboh masuk melalui tingkap bilik aku."

"Habis tu, kenapa?"

Dia memang betul! Kenapa agaknya? Kenapa aku merawat kecederaan si penceroboh ini, malah memberinya koko hangat di dalam bilikku? Aku bukanlah seorang yang kejam, tapi aku juga bukanlah seorang yang begitu baik hati dan pemurah untuk membantu setiap orang yang tercedera. Aku bukanlah  angel dan aku benci berdepan dengan sesuatu yang kurang menyenangkan. Tapi, kenapa aku menerima penceroboh ini? Kalaulah pihak berkuasa tahu, aku memang akan ditimpa masalah. Mereka akan melihat aku sebagai seseorang yang tidak mempunyai pertimbangan yang rasional. Kalaulah ini berlaku...

Mataku tertancap pada mata kelabunya itu. Matanya seperti dapat melihat keseluruhan diriku, setiap perkara yang aku fikir dan dia sedang mengetawakan aku. Aku mengetap bibir dan memandangnya lagi.

"Kalau badan kau besar dan agresif, memang aku akan bunyikan penggera tu. Tapi, kau sangat kecil dan nampak macam perempuan yang akan jatuh pengsan. Jadi... jadi aku patut tolong kau. Dan..."

"Dan?"

Dan warna mata kau memang aneh, warna yang aku belum pernah tengok sebelum ni. Dan aku amat tertarik padanya.

"Dan... Aku selalu nak tahu macam mana rasanya kalau boleh menjahit di badan manusia."

Nezumi sekadar mengangkat bahu dan menghabiskan kokonya. Selepas mengesat bibirnya dengan belakang tangan, dia mula memegang cadar katilku.

"Betul aku boleh tidur kat sini?"

"Boleh."

"Terima kasih."

Itulah ucapan terima kasih pertamanya sejak dia masuk ke bilikku.

*Nezumi - tikus

(bersambung di bahagian c)
 

No comments:

Post a Comment