Friday, June 29, 2012

Vol 1 Ch 2 Bahagian a

BAB 2
Permulaan yang senyap

Kes (Sampel pertama dikesan)
Lelaki, 31 tahun. Jurutera di sebuah firma bioteknologi
Meninggal dunia ketika dijumpai. Alamat ....

Lelaki itu menghempaskan punggungnya ke atas bangku di taman hutan dan mengeluh. Dia sendiri tertanya-tanya berapa kalikah dia mengeluh sejak awal pagi itu. Matanya merenung lama ke arah sayuran kubis di tangannya lalu dia mengeluh lagi. Kualiti kubis itu, memang amat baik - segar dan hijau. Dia mengoyakkan sedikit kepingan kubis itu sebelum menyuapkannya ke dalam mulut. Rasanya amat menyelerakan dan teksturnya juga memang mengagumkan. Memang kubis kelas pertama. Tapi, dia terfikir pula kenapakah ianya masih belum terjual?

Lelaki itulah yang sebenarnya menghasilkan kubis itu. Dia ialah seorang kakitangan di sebuah firma bioteknologi dan bertanggungjawab mengasilkan hasil-hasil sayuran yang segar. Dia amat percaya bahawa sayuran yang dihasilkannya ini akan terjual dan dalam satu jangka masa akan dapat mengatasi masalah krisis makanan. Namun, pembeli-pembeli nampaknya lebih gemarkan sayur-sayuran yang dihasilkan di ladang-ladang di South Block daripada sayuran segar yang dihasilkannya. Jika perkara ini berterusan, dia perlu mula mempertimbangkan untuk menghentikan penghasilan sayur-sayurannya itu.

Dia mula menggaru-garu belakang lehernya yang mulai terasa gatal itu. Lelaki itu memang cenderung untuk mendapat ruam apabila dia tertekan dan letih. Dia yakin yang ruam-ruam merah itu akan mula merebak ke seluruh badannya tidak lama lagi. Terlalu banyak perkara berlaku hari ini membuatkan dia mengeluh lagi. Dan kubis di tangannya terasa berat dan membebankan.

Kedengaran bunyi 'bip' dari poket kemejanya, lalu dia segera mengeluarkan skrin telefon bimbit di kad pengenalannya dan wajah seorang wanita mula terpapar di skrin itu.

"Selamat sejahtera dari Sistem Maklumat Perbandaran. Kami ingin memaklumkan anda berkenaan dengan keputusan Peperiksaan Kanak-kanan yang anda daftarkan. Untuk mengenalpastikan akaun anda, sila masukkan Nombor Pendaftaran Warganegara ..." Sebelum sempat wanita di skrin menghabiskan ayat-ayatnya, lelaki itu mula memasukkan nombor seperti yang dipinta. Hari itu ialah hari peperiksaan anak perempuannya yang berusia 2 tahun, seorang budak perempuan yang amat bijak dan comel. Walaupun dia tidak pernah memberitahu sesiapa, namun lelaki itu sebenarnya berharap anaknya akan diakui sebagai seorang yang berbakat besar.

"Terima kasih. Kami telah mengesahkan cop jari dan nompor pendaftaran anda. Maklumatnya adalah seperti berikut ..." Nama anaknya mula terpapar diikuti dengan profilnya. Berat badan, ketinggian, tahap kesihatan, nutrisi, perkembangan minda, kemahiran ... kesemuanya berada di tahap A hingga C. Dia bukanlah seorang yang tercorot, namun bukan juga seorang yang cemerlang- seorang yang sederhana. Itu saja. Lelaki itu merenung lama ke dalam skrinnya sebelum menyimpan kembali kad itu ke dalam poket. Dia mula memikirkan senyuman anak gadisnya itu.

Tak apalah.

Lelaki itu bergumam sendiri dan mengukir senyuman. Berbakat atau tidak, anaknya tetap ialah anaknya. Anak yang disayanginya dan itu sudah memadai.

Secara tiba-tiba, sesuatu melintasi fikirannya membuatkan dia mula terfikir. Adakah selama ini dia begitu mengidami sesuatu yang sempurna, terlalu sempurna? Memang betul - tiada apa yang dapat dirungut tentang kubisnya itu. Tapi, kesempurnaannya itu mungkin juga ialah racun.Adakah kubisnya yang terlalu sempurna itu sebenarnya menakutkan pembeli-pembeli untuk membelinya?

Sebuah robot pembersihan bergerak perlahan menghampirinya. Robot itu mempunyai kepala berbentuk bulat, dan dua tangan yang panjang untuk mengutip sampah dan membuangnya ke dalam bekas sampah di dalam badannya sendiri. Ya! Kubis-kubisnya bagaikan robot ini. Memang sempurna dan kelihatan teratur, namun ianya terlalu palsu. Para pembeli mahukan sayur-sayuran yang unik dan natural, bukan tiruan seperti yang dihasilkan olehnya. 

Kubisnya itu tiba-tiba jatuh bergolek dari tangan. Lelaki itu mula tunduk untuk mengutipnya.

Huh?

Jari-jemarinya mulai kebas. Pandangan matanya kabur dan dia mengalami kesukaran bernafas. Robot pembersihan itu turut mengutip kubis yang terjatuh, dan berhenti seketika. Suara seorang lelaki mula keluar dari badannya.

"Boleh saya buang sampah ini, tuan?"

Lelaki itu membuka mulutnya untuk membalas, namun dia hanya terbatuk-batuk dan sesuatu mula terkeluar dari mulutnya. Gigi. Giginya telah tertanggal nampaknya.

"Adakah tuan pasti? Saya akan buangkannya sekarang." Kubis itu kemudian dimasukkan ke dalam bekas sampah dan robot itu mula bergerak pergi.

Nanti dulu. Tolong aku!

Lelaki itu mula menggerakkan tangannya dan menjerit dalam ketakutan. Lengannya mula kelihatan bertompok-tompok dan badannya terasa berat. Lelaki itu berjalan terhuyung-hayang dan kemudian rebah di tanah. 


"Sion, tengok ni."

Jam telah melepasi pukul 6 apabila Sion diseru oleh rakan sekerjanya, Yamase. Hanya mereka berdua sahaja yang berada di Pejabat Pengurusan Taman ketika itu dan mereka bertanggungjawab untuk mengendali dan menyelenggara ketiga-tiga robot-robot pembersihan yang sedang meronda di dalam kawasan taman. Robot-robot pekerja seperti itu masih dalam peringkat prototaip, dan sememangnya amat mudah rosak. Mengendalikan robot-robot itu juga agak menyusahkan kerana ia memang tidak pandai mengasingkan sampah-sarap. Robot-robot itu seharusnya berupaya mengingati setiap jenis sampah yang direkod di dalam memorinya. Namun, ianya sering membawa pulang 'objek-objek yang tidak dapat diasingkan' setiap masa. Malah, setengah jam yang lalu, Sion mengesan imej seperti kubis yang dihantar kepadanya oleh salah sebuah robot itu, dan dia tidak pasti apa yang harus dilakukan. Dia pernah melihat objek-objek lain yang dia sendiri tidak pasti samada ianya adalah sampah atau tidak, seperti anak burung yang terjatuh dari atas pokok dan topi dengan hiasan bulu burung yang kelihatan mewah. Namun kubis, ianya memang ialah kali pertama. 

"Ada apa?" Sion menyoal sambil berjalan menghampiri Yamase yang sedang duduk di hadapan panel pengendali.

"Hmmm... Sampo pelik sikit hari ni"

Yamase gemar memberi nama kepada robot-robot itu dan Sampo ialah Robot No.3. Hari ini, Sampo ditugaskan bekerja di kawasan yang agak tersorok di dalam taman itu. Sampo juga ialah robot yang sama yang mengutip serpihan kubis tadi. Skrin di hadapan mereka telah memaparkan paparan pesanan RALAT yang berkelip-kelip menunjukkan ianya telah mengesan objek yang tidak dikenalpasti.

"Imejnya macam mana?"

"Tak jelaslah. Aku pun tak nampak. Tapi... aku rasa pelik."

"Pelik?"

Yamase, pemuda berusia 20 tahun - hanya tua 4 tahun dari Sion - seorang yang amat pendiam dan tenang. Disebabkan sikap Yamase yang sebegitulah membuatkan Sion suka bekerja di situ selain daripada dia lebih gemarkan bekerja dengan mesin daripada bekerja dengan manusia. Sion memang tidak begitu pandai berbual.

"Kau tengok ni." Kata Yamase sambil menunjuk ke arah skrin.

"Boleh fokus sikit tak?"

"Okey." Dia membalas dan tangannya mula bergerak perlahan-lahan di atas panel kawalan dan imej di skrin mula semakin jelas.

"Apa..." Sion merapatkan badannya untuk melihat dengan lebih jelas, dan nafasnya tersekat di kerongkong. Kaki? Sepasang kaki berseluar hitam terhulur dari belakang sebuah bangku taman dan dia dapat melihat sepasang kasut berwarna coklat menutup kaki itu.

"Kau rasa dia tertidur ke?" Suara Yamase menggeletar.

"Ada tanda-tanda dia masih hidup tak?"

"Huh?"

"Boleh kau tinggikan pengesan Sampo sampai ke tahap maksimum?" Pinta Sion. Sampo dibekalkan dengan reseptor yang dapat mengesan haba, bunyi dan tekstur. 

"Oksigen, pembebasan haba ... sifar." Suara Yamase semakin menggeletar hebat.

"Aku pergi periksa." Kata Sion laju.

"Aku nak ikut kau."

Mereka mengayuh basikal masing-masing sepantas yang mungkin. Basikal adalah merupakan pengangkutan yang paling popular sejak beberapa tahun yang lalu dan statitik menunjukkan setiap warganegara biasa mempunyai sekurang-kurangnya sebuah basikal. Pada masa itu, lebih ramai orang cenderung untuk menaiki basikal ataupun berjalan kaki menuju ke destinasi masing-masing kerana ianya lebih mudah. Bagi Sion pula, memandangkan dia masih seorang pelajar, dia lebih gemarkan kenderaan yang murah, tidak perlu menggunakan minyak dan mudah.

Sion tiba di kawasan terlindung itu tidak lama kemudian dan terpandang Sampo sedang berdiri di bawah rimbunan daun dari pokok-pokok di taman hutan itu.

"Sampo." Sebaik sahaja terdengar suara Sion, mata LED Sampo mula menyala ke warna hijau. Sion mengintai ke belakang bangku taman itu dan dia terperanjat besar.

"Sion, apa yang dah jadi?" Yamase tiba sedikit lewat daripadanya dan terbatuk-batuk kecil.

Lelaki yang terbaring di belakang bangku taman itu kelihatan seolah-olah hendak menyembunyikan dirinya di situ dari pandangan mata orang ramai. Mulutnya ternganga dan matanya terbuka luas seperti sedang merenung sesuatu. Ekspresi wajahnya menunjukkan dia sedang terkejut dengan sesuatu, dan dia seolah-olah telah melihat sesuatu yang mengejutkan sebelum menemui ajal. Rambutnya putih beruban, dan pipinya kelihatan cengkung sekali. Kedutan di wajahnya kelihatan jelas dan ternyata dia seorang yang agak berusia.

Tapi, pakaiannya agak tidak sesuai dengan seseorang yang berusia sepertinya.


Sion merenung lama ke arah kemeja merah jambu muda yang dipakai lelaki itu.

"Yamase, boleh tolong hubungi Biro Sekuriti?"

"Huh? Oh.. oh ya. Okey. Nanti kejap ya... Helo? Urmm.. sini ialah Pejabat Pengurusan Taman..." Suara Yamase kedengaran menggeletar.

Sion mula menghampiri mayat lelaki itu bercadang mahu menyentuhnya. Nampaknya mayat tersebut telah mengalami keadaan rigor mortis.*

"Mustahil." Sion bergumam sendiri tidak percaya. Cepat sangat ni.


Mayat akan mengalami keadaan rigor mortis sekurang-kurangnya satu jam selepas kematian bergantung kepada keadaan - namun kebiasaannya mengambil masa hingga dua ke tiga jam. Ia akan bermula dari rahang dan akan merebak perlahan-lahan ke bahagian bawah tubuh sehingga ke kaki. Berdasarkan keadaan mayat, lelaki itu sepatutnya telah meninggal dunia sekurang-kurangnya beberapa jam yang lalu. Namun 30 minit sebelum ini, Sion amat pasti mayatnya tidak ada di sini. Jika ada pun, Sampo pasti akan dapat mengesannya. Sion tahu yang seorang lelaki hidup pernah duduk di bangku itu melalui kamera namun dia tidak mempunyai bukti menunjukkan lelaki yang hidup itu ialah orang yang sama yang terbaring kaku di belakang bangku ini. Tidak, mustahil mereka ialah orang yang sama. Mustahil untuk seseorang yang masih hidup 30 minit lalu akan mengalami rigor mortis sepenuhnya dalam masa sesingkat ini. Jadi - adakah orang lain yang duduk di sini tadi, langsung tidak perasan akan lelaki tua ini?

Mustahil.


Sion melepaskan lengan lelaki tua itu, yang terasa semakin kaku dan sejuk dari badan mekanikal Sampo itu. Memang mustahil. Meskipun dia meninggal dunia tanpa disedari sesiapa, Sampo pasti akan dapat mengesannya. Namun, Sampo hanya mengesan keadaan lelaki tua itu dan menghantar isyarat 'objek yang tidak dikenalpasti' beberapa minit lalu. Maksudnya pada 30 minit yang lalu, mayat ini tidak ada di sini

Sion menyangkakan dia melihat mayat itu bergerak dan pastilah ianya hanya imaginasinya sahaja. Namun, Sion mula berteriak ketakutan. Rahang lelaki itu yang kaku seminit yang lalu, mula menjadi lembut semula. Malah, dia juga dapat menghidu bau busuk mayat yang reput. Lelaki itu dijumpai tertiarap dengan wajahnya menghala ke bawah, dan Sion dapat melihat kesan berwarna hijau kehitaman di belakang telinganya mulai membesar dan merebak. Dia amat pasti yang kesan itu tidak ada di situ sebelum ini, atau sekurang-kurangnya ianya tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sion mula menghampirinya untuk melihat dengan lebih jelas.

"Mereka dah datang." Yamase mula mengeluh kelegaan. Dari situ mereka dapat melihat sebuah kenderaan Biro Sekuriti bergerak menghampiri kawasan itu.


"Jadi dalam masa 10 minit macam tu, mayat tu dah mengalami rigor mortis dan mereput lepas tu? Mustahillah!" Safu melontarkan kesimpulannya sebaik sahaja dia menelan donut cokolatnya. Kedai makanan segera di mana mereka duduk sekarang terletak berhampiran dengan kawasan perbandaran lama dan keadaan sekeliling kelihatan amat sibuk dengan orang yang lalu-lalang.

"Kalau betullah kau kata kau terbau busuk, maksudnya bakteria dah mula terurai kan? Mana mungkinlah. Dalam musim panas pun, ianya masih akan makan masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk rigor mortis lesap sepenuhnya, kan?" Sambung Safu lagi.

"Kalau dalam keadaan yang biasa pun, ianya akan masa 36 jam pada musim panas, 3 hingga 7 hari pada musim sejuk dan 60 jam dalam cuaca yang macam sekarang ni. Kalau ikut buku teks la." Sion membalas, melemparkan pandangannya dari wajah Safu dan meneguk tehnya dengan berselera walaupun dia berasa agak penat.

"Biro Sekuriti soal siasat kau teruk ke?" Safu merenung dalam-dalam ke wajah Sion. Rambut Safu yang dipotong pendek terbentuk cantik di wajahnya dan sesuai sekali dengan mata besarnya, membuatkan dia kelihatan misterius dan menarik. Safu juga ialah salah seorang daripada mereka yang mendapat pangkat tinggi di dalam Peperiksaan untuk kanak-kanak berusia 2 tahun dan dia ialah salah seorang daripada rakan sekelas Sion hinggalah mereka berusia 10 tahun. Dan sekarang pada usia 16 tahun, dialah satu-satunya orang yang berhubungan rapat dengan Sion. Gadis itu mengambil pengkhususan dalam bidang fisiologi, dan akan menyertai program pertukaran pelajar di luar negara tidak lama lagi.

"Mereka mestilah rasa curiga sebab lelaki tu meninggal dunia disebabkan sebab yang tak diketahui. Mesti mereka soal-siasat kau gila punya sebab tu kan?"

Sion mengenali Safu sebagai seorang gadis yang pendiam di kelas, dan mungkin juga di makmal. Namun, apabila dia berdua bersama Sion, Safu gemar tersenyum, makan dengan berselera dan bercakap dalam nada suara yang biasa. Sion meneguk tehnya lagi dan terus mengosongkan gelasnya sambil menggeleng.

"Takde la teruk sangat." Sejujurnya, soal-siasat dari pegawai biro sekuriti amat pendek dan ringkas. Mereka hanya mengambil data yang direkodkan oleh Sampo dan mencatat penjelasan yang diberikan oleh Sion dan Yamase. Mereka bercakap dengan agak kasar dan tegas apabila mengetahui yang Sion menetap di daerah bandar lama berhampiran dengan West Block, namun Sion sudah lali dengan layanan sebegitu dan tidak begitu mengambil pusing.

"Habis tu, kenapa kau nampak terganggu sangat ni? Kau nampak macam orang bermasalah saja."

"Aku... aku rasa macam ada benda yang tak kena."

"Maksud kau pasal rigor mortis dan jangka masa ia lenyap tu ke?"

"Betul. Kau sendiri juga dah cakap, Safu. Ianya memang mustahil walau fikir macam mana pun. Tak ada pun keadaan  yang boleh mempercepatkan rigor mortis sampai macam tu sekali."

"Maksud kau tak ada keadaan macam suhu atau kelembapan atau pengaruh sekeliling yang lain, kan? Kalau tak buat bedah siasat, kita mana tahu. Manalah tahu, mayat tu jadi macam tu disebabkan faktor dalaman badan dia ke."

"Keadaan dalam badan, huh... macam apa?"

"Manalah tahu badannya memang amat lemah, ianya takkan ambil masa yang lama untuk mayatnya menjadi kaku. Dalam kes keracunan fosforus ataupun budak-budak ...."

"Safu, dia bukan budaklah. Aku masih belum rabun."

Safu mengeluh dan mengerling ke arah Sion.

"Aku bagi contoh je. Kau ni masih sinis dan sarkastik macam dulu. Tak berubah langsung. Tapi, aku rasa kita tak mungkin boleh teka apa sebabnya sebab kita tak ada maklumat lain."

"Ya..." Sion mengangguk dan menggigit bibirnya tanpa disedari. Maklumat, buku teks, manual...  ada masanya ia memang akan jadi sangat tidak berguna. Kepercayaan dan keyakinannya akan dapat disangkalkan dengan mudah dan semuanya akan dihancurkan di hadapannya dan dia pernah mengalaminya empat tahun yang lalu.


*rigor mortis - keadaan mayat yang kaku/menegang perlahan-lahan setelah beberapa lama (selalunya bermula selepas 3 jam kematian dan mencapai rigor mortis sepenuhnya dalam masa 12 jam). Rigor mortis adalah disebabkan perubahan kimia dalam otot mayat dan turut dipengaruhi oleh suhu, cuaca dan kelembapan sekeliling. Badan mayat akan lembut kembali perlahan-lahan dalam masa 3 hari kemudian. Forensik selalunya dapat tahu masa kematian mayat dan samada mayat pernah diubah kedudukannya selepas mati melalui keadaan rigor mortis ini.

(bersambung di bahagian b)
 

No comments:

Post a Comment