Ibu sedang duduk di sofa di ruang tamu sambil merenung ke arah skrin televisyen nipis yang terlekat di dinding. Dia sedar dengan kehadiranku dan menunjuk ke arah skrin yang memaparkan seorang pembaca berita wanita berambut panjang yang lurus sedang memberikan amaran kepada semua penghuni Chronos.
"Seorang tahanan telah lari dari Pusat Pemulihan yang terletak di West Block, dan pernah dilihat melarikan diri ke kawasan Chronos. Kawasan tersebut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan perintah berkurung sepanjang malam turut dikeluarkan. Setiap penghuni Chronos adalah dilarang keluar dari rumah masing-masing melainkan kecemasan."
Wajah Nezumi mula terpapar di skrin televisyen dan perkataan "VC103221" yang berwarna merah menyala tertulis di bawahnya.
"VC.."
Aku menyuapkan sesudu penuh kek ceri ke dalam mulutku. Saban tahun, ibu pasti akan membakar kek ceri pada hari jadiku hanya disebabkan ayahku telah membawa pulang kek ceri ke rumah pada hari aku dilahirkan.
Ibu pernah bercerita tentang ayah - seseorang yang tidak lagi dapat diharapkan sebagai ketua keluarga kerana begitu memanjakan dirinya dengan kemewahan duniawi, wanita dan juga arak. Dia pulang pada satu hari dalam keadaan mabuk dan membawa pulang tiga biji kek ceri yang amat sedap kerana ibu sentiasa mengingati rasanya pada tarikh 7 September setiap tahun. Malangnya, aku pula langsung tidak mengingati ayahku itu. Namun, ianya bukanlah satu perkara yang teruk kerana selepas aku diiktiraf sebagai seorang yang berpangkat tinggi di dalam peperiksaan, aku dan ibu dianugerahkan keistimewaan untuk tinggal di Chronos, lengkap dengan insurans termasuk rumah yang aku diami sekarang ini.
"Saya baru teringat yang saya masih belum hidupkan sistem sekuriti di halaman. Kalau biarkan begitu, tak ada apa-apa masalah kan?" Aku menyoal.
Ibu bangkit perlahan-lahan. Sejak akhir-akhir ini, berat badannya semakin bertambah dan nampaknya dia memerlukan sedikit usaha untuk bergerak sekarang.
"Benda tu memang menyusahkan. Kucing lompat atas pagar pun, penggera akan berbunyi dan Biro Sekuriti akan terus datang ke sini. Menyusahkan!"
Nampaknya ibu semakin gemar menggunakan perkataan 'menyusahkan' sejak akhir-akhir ini.
"Seorang tahanan telah lari dari Pusat Pemulihan yang terletak di West Block, dan pernah dilihat melarikan diri ke kawasan Chronos. Kawasan tersebut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan perintah berkurung sepanjang malam turut dikeluarkan. Setiap penghuni Chronos adalah dilarang keluar dari rumah masing-masing melainkan kecemasan."
Wajah Nezumi mula terpapar di skrin televisyen dan perkataan "VC103221" yang berwarna merah menyala tertulis di bawahnya.
"VC.."
Aku menyuapkan sesudu penuh kek ceri ke dalam mulutku. Saban tahun, ibu pasti akan membakar kek ceri pada hari jadiku hanya disebabkan ayahku telah membawa pulang kek ceri ke rumah pada hari aku dilahirkan.
Ibu pernah bercerita tentang ayah - seseorang yang tidak lagi dapat diharapkan sebagai ketua keluarga kerana begitu memanjakan dirinya dengan kemewahan duniawi, wanita dan juga arak. Dia pulang pada satu hari dalam keadaan mabuk dan membawa pulang tiga biji kek ceri yang amat sedap kerana ibu sentiasa mengingati rasanya pada tarikh 7 September setiap tahun. Malangnya, aku pula langsung tidak mengingati ayahku itu. Namun, ianya bukanlah satu perkara yang teruk kerana selepas aku diiktiraf sebagai seorang yang berpangkat tinggi di dalam peperiksaan, aku dan ibu dianugerahkan keistimewaan untuk tinggal di Chronos, lengkap dengan insurans termasuk rumah yang aku diami sekarang ini.
"Saya baru teringat yang saya masih belum hidupkan sistem sekuriti di halaman. Kalau biarkan begitu, tak ada apa-apa masalah kan?" Aku menyoal.
Ibu bangkit perlahan-lahan. Sejak akhir-akhir ini, berat badannya semakin bertambah dan nampaknya dia memerlukan sedikit usaha untuk bergerak sekarang.
"Benda tu memang menyusahkan. Kucing lompat atas pagar pun, penggera akan berbunyi dan Biro Sekuriti akan terus datang ke sini. Menyusahkan!"
Nampaknya ibu semakin gemar menggunakan perkataan 'menyusahkan' sejak akhir-akhir ini.
"Tapi, kamu tengoklah budak tu. Dia masih muda tapi sudah jadi seorang VC... apa agaknya kesalahan dia?"
VC. Cip V. Ianya adalah nama pendek bagi Violence-Chip, yang pada asalnya ialah satu istilah yang digunakan di Amerika Syarikat untuk bahan semikonduktor yang digunakan untuk menapis kandungan televisyen. Cip ini digunakan untuk menapis dan tidak memaparkan sebarang bentuk tayangan yang ganas ataupun mengganggu para penonton. Kalau tak silap aku, istilah ini pertama kali digunakan dalam Akta Telekomunikasi 1996.
Tapi, di No. 6, istilah VC ini mempunyai maksud yang lebih berat. Cip ini akan diimplan ke dalam badan penjenayah yang disabitkan dengan kesalahan membunuh, cubaan membunuh, menyerang dan jenayah keganasan yang lain bagi membolehkan sistem komputer mengesan kedudukan, keadaan dan emosi mereka. VC ialah satu istilah yang digunakan untuk penjenayah ganas (violent criminals).
Tapi, macam mana dia keluarkan cip tu?
Kalaulah VC masih berada di dalam badan Nezumi, sistem pengesan akan dapat mengesan lokasinya dengan mudah. Dia dapat diberkas dengan segera tanpa sesiapa pun yang perasan. Adakah ini bermaksud mereka masih belum dapat mengesan jejaknya?
Atau mungkinkah luka peluru tu yang ....? Tak, tak mungkin.
Aku memang belum pernah melihat luka peluru di badan manusia sebelum ini, tapi aku tahu yang peluru itu ditembak dari jarah yang agak jauh. Kalaulah dia sendiri yang menembak cip itu di bahunya sendiri, kecederaannya pasti lebih serius dan ada kesan melecur seperti terbakar di kulitnya. Lebih serius dari lukanya sekarang.
"Agak bosan hari istimewa kamu ni kan?"
Ibu mengeluh berat sambil menaburkan serpihan parsely ke dalam periuk stew di atas meja. "Bosan" juga ialah satu lagi perkataan yang selalu digunakan ibu sejak akhir-akhir ini.
Aku dan ibu memang serupa. Kami berdua memang kurang sensitif dan tidak begitu gemar bersosial. Orang-orang di sekeliling kami memang baik, terlalu baik hinggakan kami ketiadaan komen negatif untuk memperkatakan tentang mereka. Kawan-kawan sekelasku dan penduduk di sekitar kami amat ramah, bijak dan bersikap sempurna. Tiada sesiapa pun yang akan meninggikan suara untuk menghina atau melayan orang lain dengan kurang sopan. Setiap orang menikmati kehidupan yang sihat hinggakan aku jarang dapat melihat mereka-mereka yang berbadan sedikit gempal seperti ibuku. Di dalam dunia kami yang aman, stabil dan sekata ini, semua orang kelihatan sama dan serupa, hinggakan aku mula merasakan kehadiran orang asing dalam hidupku amat tidak menyenangkan.
Pecahkannya.
Musnahkannya.
Musnahkan apa?
Segala-galanya.
Segala-galanya?
Sudu yang berada di dalam tanganku tiba-tiba sahaja terlepas ke lantai.
"Kenapa? Jauhnya kamu mengelamun."
Ibu merenungku dengan pandangan mata yang penuh tanda tanya. Bibirnya menguntum senyuman. "Jarang kamu mengelamun macam ni, Sion. Kamu nak ibu basuh sudu kamu?"
"Tak perlu." Aku membalas senyumannya. Jantungku berdegup begitu kencang hinggakan aku terasa sukar untuk bernafas. Aku meneguk air mineral dengan sekali telan sahaja.
Luka peluru, darah, VC, mata berwarna kelabu. Apa semua ni? Benda ini tak pernah wujud dalam hidup aku pun selama ni. Kenapa tiba-tiba saja ia datang menceroboh kehidupan aku yang aman damai ini?
Aku mulai berfirasat sesuatu akan berlaku dan mengubah segala-galanya. Seperti virus yang menceroboh ke dalam sel, bermutasi di dalamnya dan memusnahkan semuanya, aku mula merasakan yang duniaku akan berubah menjadi kucar-kacir dan dihancurkan.
"Sion, kenapa dengan kamu ni?" Ibu menyoal sambil memandang wajahku semula, mengambil berat.
"Maafkan saya, ibu. Laporan yang saya kena buat sekarang ni buat saya terganggu. Saya nak makan dalam bilik, ya." Aku berbohong dan terus bangun.
"Jangan buka lampu." Satu suara yang rendah memberi arahan sebaik sahaja aku masuk ke dalam bilikku. Aku memang tidak sukakan kegelapan, sebab itulah aku membiarkan lampu bilikku selalu terpasang. Namun sekarang ianya amat gelap gelita.
"Aku tak boleh nampak apa-apalah."
"Tak nampak pun tak apa."
Tapi kalau aku tidak dapat melihat, aku tidak dapat bergerak. Aku berdiri dengan senyap di muka pintu bersama-sama sedulang stew dan kek ceri di tangan.
"Bau macam sedap."
"Aku bawakan kau stew dan kek ceri."
Dalam kegelapan itu aku dapat mendengar keluhan leganya.
"Nak tak?"
"Mestilah."
"Kau nak makan dalam gelap ni?"
"Yalah."
Aku berjalan perlahan-lahan dengan penuh hati-hati ke hadapan dan aku dapat mendengar suara ketawa Nezumi yang kedengaran sinis.
"Dalam bilik sendiri pun tak tau jalan ke?"
"Aku ni bukannya nokturnal*. Kau tu pun boleh ke nampak dalam gelap?"
"Aku kan tikus. Mestilah aku boleh."
"VC 103221"
Dalam kegelapan itu, aku dapat mendengar Nezumi seperti terkejut.
"Kau masuk dalam berita. Terkenal juga kau, ya."
"Tapi aku nampak lebih segak di luar kan? Hei, kek ni macam sedap."
Mataku kini semakin biasa dengan kegelapan. Aku duduk di atas katil dan mengerling ke arah Nezumi. "Mestilah." Kataku.
"Apa yang kau buat dengan cip tu?" Aku menyoalnya.
"Masih dalam badan aku."
"Kau nak aku tolong keluarkan ke?"
"Pembedahan lagi? Tak payahlah. Terima kasih saja."
"Tapi..."
"Tak kisahlah. Benda ni dah tak guna lagi."
"Apa maksud kau?"
"VC ni macam satu alat mainan je. Kacang je kalau nak buang."
"Permainan, huh?"
"Ya, permainan. Biar aku beritahu kau satu benda lagi. Bandar ni pun macam permainan jugak. Permainan murah yang cuma nampak cantik kat luar saja."
Nezumi telah pun menghabiskan kek dan stewnya dan dia sendawa kekenyangan.
"Kau yakin kau boleh lepas?"
"Mestilah."
"Tapi, kat sini ada banyak sistem pemeriksaan keselamatan yang ketat untuk mereka yang tidak berdaftar."
"Kau fikir macam tu? Sistem bandar ni bukanlah sempurna sangat.
"Kenapa kau boleh cakap macam tu?"
"Sebab aku ni bukanlah sebahagian daripada sistem tu. Kamu semua ni dah diprogram untuk percaya yang tempat ni bagaikan utopia yang sempurna. Atau mungkin kamu semua sendiri memang nak percaya macam tu."
"Aku tak percaya."
"Huh?"
"Aku tak rasa tempat ni sempurna." Laju saja ayat itu meluncur keluar dari mulutku. Nezumi segera terdiam. Di hadapanku ini aku hanya nampak kegelapan dan aku langsung tidak dapat merasai kehadirannya. Dia memang betul. Dia memang seperti seekor tikus, haiwan malam yang pandai menyembunyikan dirinya di dalam kegelapan.
"Kau ni pelik." Dia berkata dengan nada suara yang lebih perlahan dari tadi.
"Ye ke?"
"Betul. Benda ni bukan sesuatu yang seseorang elit macam kau akan katakan. Kau tak rasa kau akan ditimpa masalah kalau pihak berkuasa dapat tahu?"
"Ya. Masalah besar tu."
"Kau menerima VC yang melarikan diri di rumah kau dan kau tak laporkan pada biro. Kalau mereka dapat tahu, kau memang akan kena. Mereka takkan lepaskan kau."
"Aku tahu."
Nezumi tiba-tiba sahaja menyentap tanganku dan jemarinya yang kurus itu terasa menusuk ke lenganku.
"Kau ni biar betul. Otak kau ni bermasalah ke? Maksud aku, kalau jadi apa-apa pada kau, ianya bukan masalah aku. Tapi, kalau kau dihapuskan disebabkan aku, aku tak sukalah. Aku rasa macam aku pulak yang buat benda tak baik..."
"Baiknya kau fikir macam tu."
"Mama selalu beritahu aku, jangan susahkan orang lain." Katanya.
"Habis tu, kau nak pergi ke?" Aku pula menyoal.
"Tak nak. Aku penat dan kat luar tu ada ribut taufan. Aku nak tidur di sini, atas katil kau ni."
"Kau ni, fikirlah betul-betul."
"Papa pernah beritahu aku jangan campur adukkan sikap dengan perasaan aku."
"Bunyinya macam ayah yang hebat."
Jarinya dileraikan dari lenganku. "Rasanya aku bernasib baik sebab kau ni pelik." Dia berkata dengan lembut.
"Nezumi?"
"Hm?"
"Macam mana kau sampai ke Chronos?"
"Rahsia."
"Kau lari dari Pusat Pemulihan dan masuk ke bandar ni? Rasa macam mustahil saja."
"Kenapa pulak mustahil?. Tapi, aku bukannya masuk ke No. 6 sendiri. Ada orang yang bawa aku. Macamlah aku nak masuk sangat ke sini.
"Bawa kau masuk?"
"Ya. Kau boleh anggap aku ni macam dihantar ke sini."
"Dihantar? Oleh polis ke? Pergi ke mana?"
Pusat Pemulihan terletak di West Block, sebuah zon yang mempunyai tahap pemeriksaan keselamatan yang amat ketat. Sesiapa saja yang berhajat hendak memasuki No. 6 melalui West Block perlu memohon kebenaran daripada biro. Sesiapa yang mempunyai permit kemasukan khas memang dibenarkan keluar masuk sesuka hati, namun aku dengar untuk permohonan baru, mereka terpaksa menunggu sekurang-kurangnya sebulan untuk borang mereka diterima dan diproses - dan selalunya hanya kurang dari sepuluh peratus permohonan sahaja yang diluluskan. Mereka juga tidak dibenarkan berada terlalu lama di dalam bandar ini.
Semakin lama, semakin ramai orang berkumpul di West Block menanti permit mereka diproses hinggakan semakin banyak penempatan di bina untuk mereka. Semakin ramai juga orang yang bekerja dan memulakan perniagaan di situ selepas itu. Aku sendiri masih belum pernah ke West Block tetapi aku dengar yang ianya adalah tempat yang agak sibuk. Kadar jenayah di situ amat tinggi dan kebanyakan VC yang memenuhi penjara-penjara di Pusat pemulihan adalah penduduk dari West Block. Kadar hukuman penjenayah dijatuhkan berdasarkan faktor usia, samada penjenayah itu pernah melakukan jenayah pada masa lepas, dan jenis kesalahan yang dilakukan. Tiada hukuman mati akan dikenakan. West Block ini bagiku bertindak bagaikan sebuah kubu yang mengurung manusia-manusia yang berpotensi untuk melakukan jenayah dan mereka ini dihalang dari memasuki bandar. Untuk seorang VC diiring dari West Block memasuki bandar ini - ke mana agaknya mereka akan dibawa? Dan atas sebab apa?
Nezumi merangkak ke atas katilku. "Mungkin ke Moondrop." Katanya.
"City Hall! Tengah-tengah bandar? Tapi kenapa?" Aku hampir menjerit.
"Aku tak nak bagitahu. Lebih baik kau tak tahu."
"Kenapa pulak?"
"Aku penat ni. Biar aku tidur."
"Kenapa kau tak boleh beritahu aku?" Aku tidak berpuas hati.
"Boleh kau jamin yang kau akan lupakan segala-galanya yang kau dengar? Atau pura-pura kau tak pernah dengar? Menipu semua orang yang kau langsung tak tahu apa-apa? Kau mungkin bijak, tapi kau bukannya orang dewasa. Kau takkan pandai menipu."
"Rasanyalah, tapi..."
"Jadi, jangan tanya aku lagi. Sebagai balasan, aku juga takkan bagitahu orang lain pasal apa yang kau buat tadi."
"Huh? Pasal apa?"
"Pasal kau jerit kuat-kuat ke luar tingkap tadi."
Dia dah nampak aku tadi. Aku dapat rasakan wajahku kini merona merah kerana malu.
"Kau memang buat aku terkejut. Aku curi-curi masuk ke halaman rumah kau dan baru saja nak fikir apa nak buat lepas tu, bila tiba-tiba tingkap terbuka dan kau menjengah ke luar."
"Hei, nanti dulu-"
"Aku tengok je apa yang kau nak buat lepas tu. Bila kau mula menjerit, aku terkejut lagi. Rasanya aku tak pernah tengok orang menjerit kuat sambil buat muka macam..."
"Diamlah!"
Aku menerkam ke arah Nezumi, tetapi aku hanya terjatuh ke atas bantal di atas katilku. Dalam sekelip mata, Nezumi terus bergerak. Dia memasukkan tangannya di bawah lenganku, dan dengan sekali kilas saja, aku kini terbaring menelentang di atas katil. Nezumi menindih badanku dan menekan kedua-dua tanganku ke atas dengan sebelah tangannya sahaja. Kedua-dua kakinya menekan pinggulku rapat supaya aku tidak lagi dapat bergerak. Dalam sekelip mata, aku dapat rasakan seluruh kakiku menjadi kebas hingga ke ibu jari kaki. Dia memang hebat. Sekejap sahaja aku sudah terperangkap dan tidak dapat bergerak di atas katilku sendiri. Dengan menggunakan sebelah tangannya lagi, dia mengambil sudu di dalam mangkuk stew yang telah kosong dan menekan pemegangnya di tekakku, dan menggerakkannya bagaikan hendak mengelar leherku. Dia kemudian tunduk supaya bibirnya berada dekat dengan telingaku.
"Kalaulah benda yang aku pegang ni ialah pisau, kau dah mati sekarang." Dia berbisik.
Aku menelan air liurku. Hebat!
"Kau memang hebat."
"Huh?"
"Macam mana kau lumpuhkan badan aku dengan senang? Kau tekan mana-mana urat saraf aku ke?"
Dia mula melonggarkan anggota bandannya yang menekan tubuhku itu sedikit sebelum akhirnya dia merebahkan badannya ke atas badanku, menggeletar - dan ketawa.
"Aku memang tak percaya. Kau ni memang kelakar. Naif pulak tu." Katanya.
Aku mula menggerakkan tanganku dan membalut badan Nezumi. Tanganku menyentuh bahagian belakangnya dan aku dapat rasakan badannya amat panas dan sedikit berpeluh.
"Dah agak dah... kau ni demam. Kau patut makan antibiotik."
"Aku tak apa-apa. Aku cuma nak tidur."
"Tapi demam kau akan teruk nanti. Badan kau panas sangat."
"Badan kau pun panas juga." Katanya. Nezumi menarik nafas dalam-dalam, dan bermonolog sendiri di bawah nafasnya.
"Manusia yang hidup memang hangat."
"Manusia yang hidup memang hangat."
Tubuhnya kaku dan tidak lama kemudian aku dapat mendengar bunyi dengkuran halus darinya. Aku juga akhirnya terlena dengan tubuhnya yang masih berada di dalam pelukanku.
Apabila aku terjaga keesokan harinya, Nezumi sudah menghilang bersama-sama baju yang kuberikan padanya, tuala dan kotak kecemasan.
*sifat haiwan yang aktif pada waktu malam dan tidur pada waktu siang.
(bersambung di chapter 2)
No comments:
Post a Comment