Friday, June 29, 2012

Vol 1 Ch 5 Bahagian a

Bab 5
Bandar Cahaya

Selepas menjamu selera, Nezumi mula menghampiri Sion bersama-sama sebuah piring petri dan pengepit. "Aku cabut benda ni dari luka kau hari tu. Cuba kau tengok sebab kau mungkin lebih tahu." Katanya.

"Aku lebih tahu?" Sion menyoal kehairanan sebelum menjengah kehadapan melihat kedalam piring itu. Kelihatan sesuatu berwarna hitam dan kelihatan berduri panjangnya lebih kurang 2 sentimeter. Sion memegangnya dengan pengepit cuba melihat dengan lebih teliti.

"Benda ni... sayap?" Dia menyoal.

"Nampak macam tu. Aku pun tak tahu. Ada satu lagi benda lain aku cabut dari luka kau juga." Nezumi menambah. "Kau rasa ni apa?"

Kali ini ialah ketulan berwarna hitam yang keras dan kelihatan seperti biji benih. Ketulan itu mempunyai lubang ditengahnya seolah-olah sesuatu sedang memakannya dari dalam.

"Ini pupa - aku rasalah." Sion membalas perlahan.

"Pupa? Maksud kau pupa yang macam rama-rama... oh nanti kejap. Rama-rama terhasil dari kepompong."

"Kepompong tu kulit luar pupa." Sion mula memberi penjelasan. "Embrio, larva, pupa, imago... kebanyakan serangga hidup selepas melalui proses pembesaran ikut aturan inilah.Yang ni... mungkin jenis lebah."

"Macam mana kau tau?"

"Sebab macam ada kesan sayap yang baru nak tumbuh kat sini. Tapi yang lebih penting  - " Sion menelan air liurnya. "Aku nampak sendiri dengan mata aku lebah hitam terbang keluar dari leher Yamase."

"Lebah tu dan benda hitam ni adalah benda yang sama?"

"Kalau tak silap, rasanya sama. Yang ni mungkin belum melengkapkan kitaran metamorfosis dan masih dalam peringkat pupa. Benda ni dah boleh keluar dari lapisan luarnya tapi masih belum membesar ke peringkat imago."

"Kenapa?"

Sion mengerutkan dahinya. Kenapa? Betul kata Nezumi tu. Kenapa agaknya? Kenapa lebah yang telah menetas, melalui metamorfosis dan menjadi imago di dalam badan Yamase tak melalui proses yang sama dalam badan aku? Kebetulankah, atau-

Sion menggelengkan kepala. "Aku tak tahu. Apa yang aku tahu lebah ni ialah lebah parasit yang menumpang dan makan tubuh manusia."

Nezumi merenung piring petri itu dengan pandangan mata yang gerun. "Lebah parasit.. aku ingatkan lebah cuma makan nektar bunga."

"Itu cuma satu spesis lebah, macam lebah madu. Ada juga lebah atau tebuan adalah pemangsa dan hidup bersendirian."

"Oh, tebuan parasit pun ada jugak?"

Sion mengangguk. Soalan-soalan Nezumi sememangnya amat mudah dan ringkas untuk dijawab oleh Sion. Namun tiada satu pun jawapannya dapat menjelaskan situasi yang dilalui mereka sekarang. Sion mula merasa tidak senang. Tapi kau tak boleh takut! dia memberitahu dirinya sendiri. Dia tidak boleh berpura-pura dan membiarkan perkara lalu begitu saja. Dia tak boleh berpura-pura seolah-olah perkara itu tidak pernah berlaku dan berdiam diri saja. Dia faham kerana dia sendiri melaluinya. Dia pernah menjadi hos kepada lebah parasit itu, melawannya dan berjaya untuk terus hidup. Dan seperti simbol kemenangan, 'ular merah' itu kini melingkari tubuhnya. Ya... inilah tandanya.

Nezumi merenung wajahnya untuk seketika dan Sion mula menarik nafas. "Ada lebih daripada 200,000 spesis tebuan parasit di dunia ni. Masih banyak hymenoptera macam lebah dan semut yang masih belum dikenal pasti termasuklah tebuan parasit. Macam tulah yang aku pernah dengar."

"Maksud kau kita masih tak tahu apa-apa?"

"Kita tak boleh pasti spesis apa..."

"Tapi kita boleh ramalkan?"

"Kalau kau pandai meramal bolehlah." Sion sedikit menyindir.

"Tapi, kau kan pernah jadi hos untuk lebah parasit? Takkan kau tak boleh tahu samada itu spesis baru ke tak?" Nezumi membalas dengan bersemangat.

"Kau ni menyakitkan hati jugak kadang-kadang, kau tahu tak?" Sion membalas dengan marah.

"Kau tu pulak selalu buat aku naik marah." Nezumi tersenyum sinis.

"Kebanyakan tebuan parasit boleh bunuh orang."

"Apa?"

"Tebuan diklasifikasikan sebagai parasit yang paling bahaya. Untuk membesar dengan sempurna, ia cuma perlu menumpang pada satu mangsa... iaitu hos. Dan akhir sekali ia akan makan dan bunuh hos tu."

"Hos? Jenis yang macam mana?"

"Banyaklah. Moth, rama-rama, larva semut, buah-buahan... satu spesis ichneumonoideae yang dikenali sebagai Rhysella approximator bertelur dalam larva spesis lain iaitu xiphydriida, dan jadikan ia sebagai hos."

"Jadi tebuan pun boleh menumpang tebuan lain?"

"Bukan tu je tapi spesis xiphydriida yang lain nama Pseudorhyssa alpestris pun akan bertelur dalam spesis  xiphydriida yang sama selepas Rhysella dan larvanya makan Rhysella, larvanya dan jugak xiphydriida."

"Jadi benda ni pun bunuh sesama spesis? Wow... aku ingatkan cuma manusia yang bunuh sesama sendiri. Habis tu?"

"Hmm?"

"Ada ke tebuan parasit yang jadikan manusia sebagai hos?"

"Yang tu aku tak pernah pulak dengar." Sion membalas. "Memang ada organisma yang menjadi parasit kepada manusia macam virus, bakteria dan kutu. Aku pernah dengar seekor langau (warble fly) bertelur di kepala budak dan telur tu masuk sampai ke otak. Tapi ini kes terpencillah. Tapi aku rasa tak pernah pulak aku dengar tebuan pun macam itu. Persoalannya sekarang ialah, macam mana ia boleh bertelur dalam badan manusia? Macam manaia boleh masuk dalam badan tanpa kita sedar?" Sion berkata sambil mengerutkan dahi.

"Kau langsung tak ingat?"

"Tak. Aku tak pernah rasa sakit atau gatal-gatal. Tak pernah terlintas langsung aku pernah kena sengat dengan lebah sebelum ni."

"Jadi ia boleh bertelur dalam hosnya tanpa disedari."

"Bukan itu je, lebah ni pun boleh membesar dengan cepat. Dan bila ia besar, hosnya juga akan berusia dengan cepat sebab tu hosnya akhirnya mati. Akhir sekali bila dah membesar jadi imago, lebah parasit ni akan makan badan manusia dari dalam supaya ia dapat keluar."

Masing-masing mendiamkan diri untuk seketika sebelum kedua-dua mereka mula menghela nafas berat.

"Aku kagum kau masih hidup, Sion." Nezumi akhirnya berkata.

"Yeah. Aku pun dah mula berpeluh sejuk bila fikir balik."

"Masih banyak benda kita tak tahu." ujar Nezumi.

"Hei-" Sion memotong. "Kat sini pernah jadi benda macam ni tak?"

"Tak pernah. Aku ada jugak pergi siasat. Memang ada orang mati sebab bergaduh atau mabuk atau lemas dalam longkang, tapi tak pernah pulak orang meninggal sebab jadi tua tiba-tiba. Kat sini tak ada tapisan media macam dalam No. 6 tu jadi kalau ada kes-kes pelik kat sini, mesti semua orang dah tahu."

"Jadi lebah ni mesti berasal dari No. 6... aku tak percaya." Sion bergumam sendirian.

"Memang susah nak percaya.." Nezumi menepuk piring petri itu perlahan dengan bahu yang terangkat.

"Nezumi?"

Nezumi menundukkan kepalanya sedikit sebelum dia mula ketawa perlahan. Tidak lama kemudian, ketawanya itu semakin menggila dan bergema di seluruh bilik itu. Dia menekan-nekan perutnya seolah-olah ada sesuatu yang menggelikan hati sambil berguling-guling di ats katil. Sion mencapai gelas airnya dan menyimbah ke atas kepala Nezumi.

"Hei!" Nezumi pantas bangkit. "Apa kau buat ni?"

"Kau okey ke tak ni?" Sion pula menyoal.

"Okey? Aku basah lencun ni!"

"Aku cuma- aku ingatkan kau kena histeria ke apa, jadi aku..."

"Kenapa pulak aku tiba-tiba kena histeria?"

"Dah kau tiba-tiba ketawa, aku ingatkan..."

"Aku ketawa sebab aku rasa kelakar."

"Apa yang kelakar?"

Nezumi mengibas-ngibas kepalanya yang basah hinggakan air terpercik di wajah Sion. "Kelakar, kan? Lebah ni berasal dari No. 6. No. 6, bandar yang orang panggil utopia, bandar masa depan dan tempat yang ideal untuk hidup. Tapi kena serang dengan lebah. Kelakarlah."

"Ni bukan benda yang kau boleh gelaklah, Nezumi. Ada orang dah mati."

Nezumi berjalan menghampiri Sion yang mula menyedari perbezaan ketinggian mereka. Nezumi kelihatan tinggi dan gagah di hadapannya.

"Apa?" Sion berundur setapak tanpa disedarinya.

"Maafkan aku sebab nak tanya ni." Suara Nezumi kembali menjadi tanpa ekspresi. Dalam masa yang sama jari-jemarinya mula mencengkam leher Sion. "Kau pernah bunuh orang sebelum ni, Sion?"

"Tak..." Sion membalas lemah. "Mestilah tak pernah..."

Bibir lelaki di hadapannya mula mengukir sneyuman dingin. "Aku dah agak dah. Tapi kau kena ingat. Lebah tu mungkin membunuh hosnya sebab ia mahu terus hidup, tapi manusia membunuh disebabkan sebab yang lebih remeh daripada tu. Dan kau pun pernah cuba dibunuh oleh manusia juga."

"Aku tahu."

"Penipu! Kau tak tahu apa-apa pun!"

"Aku tahulah!" Sion membalas marah sambil mula memegang lengan Nezumi. "Aku tahu kalaulah aku dibawa ke Pusat Pemulihan dulu, aku akan dituduh sebagai pembunuh. Aku akan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Paling teruk aku kena hukuman mati.." Dia berhenti seketika mengambil nafas dan menyambung. "Mereka cuma nak lengahkan masa untuk cari penyebab kematian Yamase. Dan bila dah tahu, mereka akan jadikan kematian tu seolah-olah kes pembunuhan biasa di mata orang luar. Betul kan?"

Nezumi melepaskan tangannya sebelum mengukir senyum. "Betul jawapan kau, markah penuh." Namun kemudian, ton suaranya kembali berubah menjadi serius. "Rasanya kau memang dah dijadikan sasaran dari mula."

"Huh?"

"Sejak hari kau tolong aku 4 tahun lalu, bandar tu dah tanda kau sebagai suspek yang perlu berjaga-jaga. Mereka mengawasi kehidupan kau tiap-tiap hari, tiap-tiap minit. Dengan siapa kau jumpa, dengan siapa kau bercakap, apa kau makan.. semuanya mereka tahu. Jadi aku agak mula-mula kes pembunuhan ni adalah untuk tangkap kau, tapi nampaknya aku juga silap."

"Tapi kenapa? Apa sebabnya?"

"Sebab kau bukannya rakyat yang taat." Nezumi membalas dengan reaksi wajah yang semakin berubah. Untuk Sion, Nezumi kelihatan seperti patung yang direka mewakili setiap ekspresi dan memek wajah. Sekejap gembira, sekejap marah, sekejap sedih. Namun, tangan Nezumi yang mencengkam lehernya tadi, masih berbekas kehangatannya.

"Kau berangan lagi? Aku ni membosankan kau ke?" Tanya Nezumi merenung segenap inci wajah Sion.

"Huh? Eh tak- mestilah tak. Aku cuma tertanya-tanya... apa maksud kau dengan tak taat?" Wajah Sion merona merah walaupun dia sendiri tidak tahu mengapa.

"Bandar tu cuma terima orang yang bersumpah taat setia pada kerajaan saja. Mereka akan pastikan sebarang unsur asing akan dibuang begitu saja."

"Aku ni unsur asing?"

"Fikirlah. Kau melindungi seorang VC, kau mengesyaki kerajaan memanipulasi maklumat dan kau sendiri dah nampak kekejaman mereka. Mereka cuma mencari peluang untuk hapuskan kau je. Hei," Nezumi memanggil tiba-tiba. "Bagitau aku macam mana sistem imunisasi berfungsi bila badan diserang virus?"

"Huh?" Sion sedikit terkejut apabila disoal begitu namun kemudian terus menyambung. "Emm mula-mula sel pembunuh semulajadi dalam badan yang dikenali senagai lymphocte akan cari sel-sel yang dijangkiti virus dan akan hapuskan ia. Lepas tu ribonuclease akan teraktif dan akan sekat virus dari merebak. Lepas tu..."

"Cukuplah tu." Nezumi menyampuk. "Hish.. bila aku suruh kau terangkan sesuatu, kau memang tak tahu bila nak berhenti. Sebab tu orang asyik nak marah dekat kau."

"Kau sorang je yang asyik nak marah kat aku."

Nezumi tidak menghiraukannya dan ketawa kecil. "Kesimpulannya, dalam bandar tu, kau ialah virus. Sebab tulah mereka nak hapuskan kau."

"Aku ni manusia. Aku takkan dihapuskan dengan mudah."

Nezumi mengeluh. "Kau tahu tak senang je orang nak bunuh orang lain."

Sion mengepal penumbuknya. "Tapi orang boleh tolong orang lain juga."

"Apa?"

"Kau tolong aku, Nezumi." balasnya. "Lebah parasit takkan tolong sesama sendiri tapi orang akan bantu orang lain. Betulkan cakap aku?"

Nezumi tersenyum seketika sebelum melarikan pandangannya dari wajah Sion. "Kau ni memang bodoh, Sion. Aku dah cakapkan dulu. Aku cuma nak bayar balik hutang aku."

"Aku juga dah bagitau dulu yang kau dah bayar cukup."

"Baiknya kau sebab pandang rendah pada hutang aku."Nezumi mula menyindir.

"Kalau macam tu mungkin anggaran hutang tu terlalu tinggi untuk kau."

Nezumi menghela nafas dan mula mendongak merenung ke siling. Dia menggigit bibirnya seolah-olah sedang mencari ayat-ayat yang sesuai.

"Kau takkan faham. Hari tu, 4 tahun lalu, aku hampir putus asa. Putus asa tu maksudnya mati untuk aku. Aku fikir tak ada orang yang akan tolong aku. Aku memang fikir macam tu. Aku tak dapat nak minta tolong, aku tak ada tempat nak lari. Bila aku masuk ke Chronos, aku terlalu penat sampai tak boleh bergerak jadi aku ingatkan aku memang akan tertangkap. Aku rasa betul-betul malu sampaikan aku terfikir adakah aku dilahirkan untuk mati dalam keadaan yang memalukan macam tu... jangan gelak."

Sion langsung tidak terasa begitu. Bunyi hujan dan imej budak lelaki kurus dalam kegelapan malam 4 tahun lalu masih bergema dalam ingatannya.

"Lepas tu tingkap bilik kau terbuka dan kau depakan tangan kau luas-luas."

"Ya aku ingat. Masa tu aku rasa macam nak menjerit."

"Bagi aku, kau seolah-olah tengah panggil aku, jemput aku masuk. Aku fikir- ianya macam satu keajaiban. Tingkap yang kau buka tu macam satu takdir untuk aku. Dan kau juga tak hubungi Biro Sekuriti walaupun tahu aku ialah seorang VC dan kau rawat luka aku dan beri aku makanan... itu adalah pertama kali berlaku dalam hidup aku. Ada juga orang yang sanggup menolong... kaulah orang pertama yang ajar aku semua tu." Nezumi memandang sekeliling biliknya.

"Disebabkan satu pertemuan tu, banyak benda dah terjadi. Dan disebabkan tu jugak aku masih hidup. Jadi kau memang betul. Memang ada masa-masa orang akan bantu orang lain. Jadi hutang aku pada kau... memang sangat banyak."

Suara Nezumi kedengaran sangat perlahan, seolah-olah dituturkannya kepada diri sendiri, namun kedengaran amat jelas di telinga Sion. Jadi sebab itulah...

"Jangan seronok sangat." Suara Nezumi tiba-tiba berubah menjadi tegas. "Aku baik dengan kau sebab aku hutang dengan kau. Kalau kau mula nak berlagak, aku halau kau keluar."

"Tak kisahlah." Kata Sion dengan lembut. "Tapi aku nak bagitau kau yang aku ni bukannya jenis yang cepat seronok. Tapi, macam mana kau tahu aku dalam bahaya? Takkanlah kau asyik awasi aku selama 4 tahun ni kan?"

Nezumi mengambil seekor tikus kelabu yang paling kecil yang sedari tadi berada di atas lantai berhampiran kakinya. "Cuba tengok betul-betul."

Sion memegang tikus itu dan mendekatkannya ke muka. "Ini... robot ke?"

"Cantik buatannya kan? Dalamnya ada sensor dan sebab tikus ni kecik, ia dapat masuk ke mana-mana kawasan dalam bandar."

"Kau yang cipta ke?"

"Yelah." Balasnya. "Masa aku tak ada di No. 6, tikus kecil nilah yang hantarkan data kau pada aku. Aku tak tahu macam mana caranya Bandar tu nak hapuskan kau. Kau ni bijak dan masih muda. Kau masih berguna dan aku tak dapat bayangkan mereka halau kau dari No.6 senang-senang. Aku agak bila mereka sedar betapa bergunanya kau, mereka akan ambil kesempatan."

"Jadi aku ni memang virus pada merekalah ya?"

Nezumi sekadar tersenyum.

"Aku tak pernah tahu yang aku selalu diperhatikan." Kata Sion.

"Mestilah mereka takkan bagi kau perasan."

"Takutnya..."

"Jadi kau dah perasan sekarang?" Nezumi menyoal.

Sion benar-benar keliru- tentang apa yang terjadi, apa yang bakal terjadi dan apa yang dia perlu lakukan sekarang. Ketakutan dari ketidakpastian itu benar-benar membuatkan dia berasa tidak senang. Namun, dalam fikirannya, dia mula terfikir sesuatu.

(bersambung di bahagian b)

1 comment:

  1. Hi sis,

    Can you contact us? We are interested to discuss about your fantasy story. Kindly email us at missynovelle@gmail.com

    ReplyDelete